KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) — Cahya Mata Sarawak Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang rendah sebanyak RM42.56 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 daripada RM72.02 juta pada suku tahun sama pada tahun lepas berikutan sumbangan keuntungan yang rendah daripada syarikat sekutu.
Perolehan, bagaimanapun, meningkat 29 peratus tahun ke tahun kepada RM275.67 juta daripada RM214.04 juta sebelum ini berikutan sumbangan yang tinggi daripada bahagian simen dan perkakas minyak.
“Sumbangan keuntungan daripada syarikat sekutu merosot sebanyak 69 peratus kepada RM14.01 juta daripada RM45.72 juta pada 2022,” menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Cahya Mata berkata keuntungan yang rendah itu turut disumbangkan oleh kerugian sebelum cukai yang tinggi dicatatkan oleh bahagian fosfat berikutan ia beralih kepada fasa pengoperasian.
Kerugian sebelum cukai bahagian itu meningkat kepada RM25.7 juta pada suku pertama 2023 daripada RM4.08 juta pada suku pertama 2022.
Cahya Mata Sarawak berkata bahagian simen mencatatkan perolehan yang tinggi sebanyak RM159.30 juta dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM37.55 juta pada suku pertama 2023, naik 17 peratus berbanding perolehan tahun kewangan 2022 sebanyak RM136.64 juta dan meningkat 29 peratus daripada keuntungan sebelum cukai sebanyak RM29.15 juta.
“Keuntungan bahagian itu yang lebih tinggi pada suku pertama 2023 sebahagian besarnya berikutan jualan yang meningkat,” katanya.
— BERNAMA
 
			 
		    




