KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) — Bursa Malaysia kekal rendah ketika tengah hari pada Isnin berikutan kekurangan pemangkin belian di kaunter berwajaran tinggi, kata penganalisis.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 9.15 mata kepada 1,419.39 daripada 1,428.54 semasa ditutup pada Jumaat minggu lepas.
Indeks barometer itu dibuka 4.92 mata lebih rendah kepada 1,423.62.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 467 berbanding 258, manakala 378 kaunter tidak berubah, 1,145 kaunter tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.55 bilion unit bernilai RM797.89 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata memandangkan wujud ketidaktentuan di Amerika Syarikat, pihaknya berpandangan sentimen serantau akan kekal lemah dan dengan itu menjangkakan FBM KLCI mengalami tekanan jualan.
“Justeru, kami menjangkakan indeks ini bergerak dalam julat 1,420 hingga 1,430 hari ini dengan tekanan berterusan ke atas sektor perladangan apabila niaga hadapan minyak sawit mentah susut di bawah paras RM3,400 satu tan atau paras terendah hampir tujuh bulan berikutan permintaan yang kurang memberangsangkan,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot 17 sen kepada RM8.61; Public Bank turun 2.0 sen kepada RM3.96; Tenaga Nasional susut 20 sen kepada RM9.62; manakala Petronas Chemicals menambah 10 sen kepada RM6.96 dan CIMB Group meningkat 3.0 sen kepada RM5.05.
Bagi kaunter aktif, Bahvest Resources meningkat 5.0 sen kepada 19 sen; Jade Marvel naik 2.0 sen kepada 24.0 sen; Vinvest Capital naik 1.5 sen kepada 85 sen; DXN Holdings susut 2.5 sen kepada 64.0 sen dan AHB Holdings menguncup setengah sen kepada 16.0 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 44.05 mata kepada 10,430.70; Indeks FBMT 100 kurang 43.22 mata kepada 10,127.14; Indeks FBM Emas Syariah turun 30.91 mata kepada 10,798.60; Indeks FBM 70 menokok 33.19 mata kepada 13,678.94 dan Indeks FBM ACE susut 16.58 mata kepada 4,986.32.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mendatar pada 164.99 manakala Indeks Perladangan meningkat 17.33 mata kepada 7,043.88, dan Indeks Tenaga menambah 0.28 mata kepada 839.81.
Walau bagaimanapun, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 91.24 mata kepada 15,514.99.
— BERNAMA

