KEGIATAN JUALAN MEMBABITKAN SAHAM WAJARAN TINGGI JEJASKAN DAGANGAN DI BURSA MALAYSIA
KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) — Bursa Malaysia dibuka rendah pada sesi pagi urus niaga Jumaat, diseret turun oleh kegiatan jualan membabitkan saham wajaran tinggi, terutamanya kaunter perladangan dan perkhidmatan kewangan di tengah-tengah situasi sentimen pasaran yang lemah.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.83 mata kepada 1,425.21 daripada 1,428.04 pada penutupan Khamis.
Indeks barometer dibuka 2.59 mata lebih lemah pada paras 1,425.45.
Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter rugi mendahului kaunter untung 141 berbalas 104, manakala 215 kaunter tidak berubah, 1,784 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 153.79 juta unit bernilai RM77.53 juta.
Kerugian yang dicatatkan oleh Sime Darby Plantation mengheret indeks komposit turun sebanyak 1.25 mata selepas susut 11 sen atau 2.41 peratus kepada RM4.45.
Pada masa yang sama, kaunter kewangan CIMB susut empat sen kepada RM4.97, Public Bank dan Maybank turun satu sen setiap satu kepada RM3.96 dan RM8.75 manakala AMMB Holdings lemah dua sen kepada RM3.55.
Secara keseluruhannya, saham ini menyebabkan FBM KLCI turun dengan gabungan 1.32 mata.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata bursa tempatan mengalami peralihan dana ke sektor lain di tengah-tengah aktiviti berselang-seli pelabur ke atas saham wajaran tinggi terpilih.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional susut satu sen kepada RM9.78 manakala Petronas Chemicals dan IHH Healthcare tidak berubah, masing-masing mencatatkan harga RM7.01 dan RM5.95.
DXN Holdings yang mula disenaraikan di Pasaran Utama muncul sebagai saham paling aktif didagangkan pagi ini, turun 1.5 sen berbanding harga tawaran awam permulaannya sebanyak 70 sen.
Bagi kaunter aktif lain, TWL Holdings, Tanco, Vsolar dan Vinvest tidak berubah, masing-masing pada 4.5 sen, 50.5 sen, satu sen dan tujuh sen, manakala Supermax naik setengah sen kepada RM1.00.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 18.31 mata kepada 10,463.46, Indeks FBMT 100 susut 19.27 mata kepada 10,463.46 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 12.02 mata kepada 10,841.48.
Indeks FBM ACE berkurangan 12.9 mata kepada 4,976.22 manakala Indeks FBM 70 lemah 22.38 mata kepada 13,663.15.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.11 mata kepada 166.11, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 34.23 mata kepada 15,534.71 dan Indeks Perladangan susut 44.93 mata kepada 7,014.07.
Bagaimanapun, Indeks Tenaga menokok 3.61 mata kepada 848.65.
— BERNAMA

