KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) — Unit milik penuh Southern Cable Group Bhd, Southern Cable Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM90.4 juta untuk membekalkan kabel dan konduktor bawah tanah kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB).
Dalam kenyataan pada Jumaat, pembuat kabel dan wayar itu menjelaskan janji niaga itu menyusuli kontrak tambahan bernilai lebih RM30 juta yang diperoleh pada April 2023, sekali gus meningkatkan jumlah nilai kontrak daripada TNB kepada RM422.5 juta daripada RM332.1 juta sebelumnya.
Pengarah Urusan, Tung Eng Hai berkata kontrak itu mengesahkan lagi prospek positif syarikat bagi permintaan kabel dan wayar didorong oleh keperluan infrastruktur tenaga Malaysia, di samping menujnjukkan kepercayaan TNB terhadap pihaknya.
“Berdasarkan rekod prestasi kami yang sekian lama memenuhi keperluan syarikat-syarikat utiliti tenaga terkemuka negara, kami optimis untuk memperoleh lebih banyak kontrak bagi memacu pertumbuhan kami di samping menyokong pembangunan infrastruktur negara,” katanya.
Menurut Southern Cable jualan kabel dan wayar tenaga lazimnya meliputi lebih 80 peratus daripada perolehan tahunan syarikat.
Nilai pesanan semasa dalam tangan sebanyak RM692.7 juta yang akan dipenuhi sehingga 2024.
Selain kabel dan wayar tenaga, ia juga termasuk produk dan perkhidmatan berkaitan, seperti rod aluminium serta pembekalan dan pemasangan sistem penerus untuk rangkaian 5G, menurut kenyataan itu.
Dari tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2020 hingga 2022, jualan kabel dan wayar tenaga melonjak daripada RM458.4 juta kepada RM749.0 juta, menjadikan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 27.8 peratus, tambahnya.
Selain TNB, kumpulan itu juga membekalkan kepada pembekal utiliti lain seperti Sabah Electricity Sdn Bhd dan Sarawak Energy Bhd, jelasnya.
— BERNAMA