KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) — Pegasus Heights Bhd (PHB) akan melaksanakan langkah pengurangan modal sebanyak RM180 juta daripada modal saham terbitannya, yang hilang dan tidak diwakili oleh aset yang ada.
Sehingga 3 Mei 2023, jumlah modal saham terbitan PHB adalah berjumlah RM210.18 juta, yang merangkumi 10.82 juta saham biasa.
PHB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata kredit sepadan sebanyak RM180 juta, yang timbul daripada cadangan pengurangan modal itu akan digunakan bagi menghapuskan kerugian terkumpul syarikat.
Sementara itu, baki akan dikreditkan ke dalam akaun pendapatan tertahan, yang mungkin digunakan mengikut kaedah yang difikirkan sesuai oleh lembaga.
“Cadangan pengurangan modal akan menghapuskan kerugian terkumpul PHB melalui pengurangan dan pembatalan modal saham terbitan semasa syarikat untuk mencerminkan nilai aset asas termasuk kedudukan kewangan dengan lebih tepat.
“Pelaksanaan ini juga akan meningkatkan profil kewangan PHB Group dengan bank, pelanggan, pembekal, pelabur dan pihak berkepentingan lain PHB Group berikutan penghapusan kerugian terkumpul,” katanya.
Perintah oleh mahkamah akan diminta bagi membenarkan cadangan pengurangan modal menurut Seksyen 116 Akta Syarikat selepas menerima kelulusan daripada pemegang saham PHB pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan.
PHB juga mencadangkan untuk mempelbagaikan aktiviti perniagaan dan anak syarikat sedia ada bagi memasukkan perniagaan pinjaman wang.
“Kumpulan itu merancang memperluaskan perniagaan pinjaman wang kepada segmen seperti perusahaan kecil dan sederhana serta segmen B40, yang kurang mendapat perhatian oleh institusi kewangan berlesen,” kata PHB.
Ia berkata sebagai peserta baharu dalam perniagaan pinjaman wang, syarikat akan membangunkan asas pelanggannya secara beransur-ansur melalui kaedah seperti menyediakan skim pembiayaan fleksibel untuk memenuhi keperluan pelanggan yang lebih luas selain menawarkan perkhidmatan pinjaman wang kepada mereka yang mempunyai akses terhad kepada bank.
“Walaupun perniagaan pinjaman wang dilihat mempunyai cabaran kemasukan dan daya saing yang rendah, lembaga pengarah telah memutuskan untuk menceburinya selepas mempertimbangkan prospek pasaran pinjaman yang menggalakkan dengan pertumbuhan pinjaman yang berterusan,” katanya.
Selain itu, syarikat juga boleh menjana keuntungan tanpa sebarang tempoh matang memandangkan potensi margin keuntungan yang akan diperoleh daripada caj faedah, yang dihadkan pada maksimum 12 peratus serta 18 peratus bagi pinjaman bercagar dan tidak bercagar masing-masing seperti yang dibenarkan oleh Seksyen 17A Akta Pemberi Pinjam Wang.
Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, cadangan kepelbagaian itu akan berkuat kuasa serta-merta setelah mendapat kelulusan daripada pemegang saham semasa EGM, manakala cadangan pengurangan modal dijangka selesai menjelang suku keempat 2023.
PHB pada dasarnya terlibat dalam pengurusan hartanah seperti pajakan hartanah komersial, perundingan pengurusan projek untuk acara pembangunan serta pemasaran hartanah, perdagangan peralatan rumah dan pegangan pelaburan.
Pada masa ini, syarikat memperoleh sebahagian besar pendapatannya daripada segmen perdagangan dan pengurusan hartanah.
— BERNAMA




