KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) — Keuntungan bersih Westports Holdings Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 meningkat 21 peratus kepada RM183.59 juta daripada RM151.85 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022 berikutan kadar cukai korporat kembali kepada 24 peratus berbanding cukai makmur yang dikenakan sekali sahaja pada suku pertama 2022.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pengendali pelabuhan itu berkata perolehan pada suku yang dikaji menyusut kepada RM512.92 juta daripada RM516.36 juta sebelum ini berikutan perkhidmatan nilai tambah yang rendah, terutamanya pendapatan penyimpanan.
Dalam kenyataan berasingan, Westports berkata segmen kontena menyumbang sebanyak 86 peratus kepada jumlah pendapatan dengan jumlah pengendalian sebanyak 2.55 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) pada suku pertama 2023.
Pengarah Urusan kumpulan Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah berkata di sebalik tekanan inflasi dan momentum ekonomi yang lebih perlahan melibatkan banyak negara, Westports mengendalikan lebih banyak kontena pemunggahan dan pintu masuk.
“Asia terus mendorong jumlah pengendalian kontena syarikat kerana terdiri daripada 63 peratus daripada jumlah kontena yang diuruskan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata segmen terminal konvensional menyaksikan penambahbaikan dari segi pengendalian kontena berikutan syarikat memenuhi keperluan pertumbuhan bagi simpanan bukan pengisian bahan api dan cecair.
“Terminal Pukal Cecair 5 yang telah siap mencatatkan penggunaan aktif, oleh itu, kami telah memulakan pembinaan Terminal Pukal Cecair 4A, yang dijadualkan siap menjelang akhir 2023,” katanya
Melangkah ke hadapan, beliau berkata syarikat menjangkakan peningkatan yang menyeluruh dari segi kos penyahkarbonan berikutan syarikat melaksanakan inisiatif untuk mencapai komitmennya kepada pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
“Cadangan pengembangan terminal kontena Westports daripada CT10 kepada CT17 sedang direka bentuk untuk menggabungkan kepentingan bagi menyokong aspirasi pelepasan karbon sifar bersih syarikat menjelang 2050 dan turut memenuhi potensi keperluan penyesuaian perubahan iklim.
“Cadangan terminal baharu itu menggambarkan komitmen kewangan dan strategi Westports ke arah mengekalkan daya saing menyeluruh Pelabuhan Klang di Asia Tenggara sebagai hab pemunggahan,” katanya.
— BERNAMA




