KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) — Kossan Rubber Industries Bhd (Kossan) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM24.25 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2023 berbanding keuntungan bersih RM90.10 juta pada suku pertama 2022.
Hasil susut 42.55 peratus kepada RM394.71 juta daripada RM687.01 juta sebelumnya, disebabkan oleh hasil yang lebih rendah daripada bahagian sarung tangan dan bahagian bilik bersih.
Kossan dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata hasil bahagian sarung tangan menurun sebanyak 47.9 peratus tahun ke tahun (kepada RM317.54 juta pada suku di bawah kajian berbanding RM609.26 juta tahun lepas disebabkan purata yang lebih rendah harga jualan purata (ASP) dan jumlah jualan.
“Syarikat itu juga mencatatkan kerugian disebabkan persaingan pasaran, pelanggan mengurangkan stok dan kos lebih tinggi disebabkan penggunaan loji yang lebih rendah.
“Selain itu, prestasi pada suku tersebut juga dipengaruhi oleh kos tenaga lebih tinggi berikutan kenaikan tarif gas asli dan elektrik,” katanya.
Ketidakseimbangan permintaan dan bekalan terus memberi kesan negatif kepada sektor sarung tangan kerana lebihan bekalan sarung tangan yang timbul daripada lonjakan kapasiti tambahan didorong oleh pandemik serta pengurangan inventori daripada pelanggan menyaksikan ASP merosot dengan ketara.
“Ini juga diburukkan lagi oleh beberapa pesaing luar negara yang menjual sarung tangan pada harga lebih rendah untuk menguasai pasaran,” kata Kossan.
Pada masa yang sama, ia berkata sektor itu berdepan dengan kos tenaga dan buruh yang lebih tinggi, masalah itu dijangka berterusan sepanjang tahun kewangan 2023, justeru kumpulan itu telah menangguhkan rancangan pengembangan jangka pendeknya seiring dengan keadaan pasaran semasa.
Kossan berkata prestasinya pada tahun kewangan 2023 dijangka mencabar berikutan keadaan semasa yang menjejaskan sektor sarung tangan.
— BERNAMA




