KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) — Anak syarikat Fajarbaru Builder Group Bhd, Grand Achievement Sdn Bhd (GASB) menandatangani dua perjanjian pembalakan dengan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pahang untuk mengeluarkan dan membeli semua kayu balak dirian di Hutan Simpan Remen Chereh, Mukim Hulu Kuantan dan di Hutan Simpan Berkelah, Mukim Hulu Lepar, Kuantan, Pahang.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, Fajarbaru menjelaskan GASB telah dilantik sebagai satu-satunya kontraktor dan eksklusif untuk mengeluarkan dan membeli semua kayu balak dirian bagi kedua-dua kawasan itu.
Perjanjian pertama membabitkan kawasan Hutan Simpan Remen Chereh seluas kira-kira 3,035 hektar dan perjanjian kedua yang melibatkan Hutan Simpan Berkelah pula meliputi kawasan seluas 534.59 hektar.
“Mengikut perjanjian satu, GASB akan membayar sejumlah tunai RM39.0 juta kepada Yayasan Pahang serta membayar sejumlah tunai RM6.74 juta berdasarkan perjanjian kedua,” menurutnya.
— BERNAMA