MELAKA, 13 April (Bernama) — Leaptec Engineering Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung LBS Bina Group Berhad, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat Turkiye, Desan Deniz Ins San AS untuk membangunkan perniagaan limbungan kapal bernilai lebih RM2 bilion di Melaka.
Dalam satu kenyataan hari ini, kedua-dua syarikat itu berkata di bawah MoU tersebut, mereka akan bekerjasama meneroka kebolehlaksanaan dan potensi membina dan membangunkan perniagaan limbungan untuk pembaikan dan pembinaan kapal di Tanjung Bruas.
“Leaptec dan Desan juga akan meneroka kemungkinan, antara lain, sokongan pihak berkuasa yang berkaitan, subsidi dan pembiayaan mudah jangka panjang.
“MoU itu akan berkuat kuasa mulai 13 April, 2023, untuk tempoh 12 bulan melainkan diperbaharui dengan persetujuan bersama kedua-dua pihak atau apabila kedua-dua pihak menandatangani perjanjian muktamad,” kata kenyataan itu.
MoU itu ditandatangani di Ibu Pejabat Desan di Istanbul, Turkiye oleh Pengarah Urusan LBS dan Leaptec Group, Datuk Joey Lim Hock Guan, manakala Desan diwakili Pengerusinya Cenk Ismail Kaptanoglu.
Majlis MoU itu disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Ketua Pegawai Eksekutif Leaptec Datuk Anis Hisham Abd Aziz dan Pengarah Desan Adil Bahadir Demirag.
Lim berkata kerjasama dengan Desan akan melengkapkan perjanjian Leaptec dengan kerajaan negeri Melaka untuk menuntut semula dan membangunkan 1,200 ekar tanah sebagai sebahagian daripada Zon Ekonomi Pesisiran Pantai Melaka.
Desan ditubuhkan pada tahun 1970 dan merupakan salah satu penyedia penyelesaian limbungan kapal Turkiye yang terkenal, terlibat dalam perniagaan pembinaan dan pembangunan limbungan, penyelenggaraan dan pembaikan kapal, pembinaan kapal dan aktiviti berkaitan perkapalan.
Antara rakan kongsi perniagaannya ialah Shell, Glencore, Trafigura, Cargill, Vitol dan Teekay.
— BERNAMA




