KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan prestasi rendah pada Jumaat berikutan wujudnya sentimen berhati-hati.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.55 mata kepada 1,423.34 daripada 1,424.89 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks barometer dibuka 0.03 mata lebih rendah kepada 1,424.86 sebelum mencatatkan pergerakan mendatar di antara 1,421.62 dengan 1,426.24 semasa sesi pagi.
Lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 340 berbanding 333, manakala 343 kaunter tidak berubah, 1,200 kaunter tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.28 bilion unit bernilai RM700.46 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd aktiviti pembelian semasa harga murah mungkin berlaku pada sesi petang kerana Wall Street telah mengalami peningkatan semula dalam tempoh semalaman.
“Walau bagaimanapun, kenaikan mungkin dikekang hari ini kerana pelabur dijangka berhati-hati ekoran minggu dagangan singkat di Amerika Syarikat dan Hong Kong.” tambahnya.
Antara kaunter wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.65, Public Bank turun tiga sen kepada RM3.98, Petronas Chemicals melonjak 18 sen kepada RM7.43, CIMB susut 10 sen kepada RM5.16, dan TNB kurang empat sen kepada RM9.21.
Bagi saham aktif, Sunsuria naik 6.5 sen kepada 68 sen, Top Glove menokok empat sen kepada RM1.06, Careplus meningkat satu sen kepada 35 sen, Fitters tidak berubah pada 7.5 sen manakala Computer Forms susut dua sen kepada 22 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 5.52 mata kepada 10,460.66; Indeks FBMT 100 naik 3.88 mata kepada 10,144.43 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 35.66 mata kepada 10,798.34.
Indeks FBM 70 naik 67.01 mata kepada 13,656.66 manakala Indeks FBM ACE turun 31.74 mata kepada 5,296.47.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 60.30 mata kepada 15,685.65; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.20 mata kepada 174.28; Indeks Tenaga meningkat 2.44 mata kepada 864.09 manakala Indeks Perladangan menokok 6.99 mata kepada 6,730.25.
— BERNAMA

