KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) — Wangsaga Industries Sdn Bhd (WISB), anak syarikat milik penuh Tek Seng Holdings Bhd, telah memeterai dua perjanjian jual beli (SPA) berasingan bagi pembelian tiga bidang tanah pegangan bebas di Pulau Pinang dalam jumlah pertimbangan tunai sebanyak RM33.96 juta.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, pengeluar bahan kepingan polivinil klorida (PVC) itu berkata WISB telah memeterai SPA dengan Bagan Specialist Centre Sdn Bhd yang membabitkan sebidang tanah di Seberang Prai Tengah pada harga RM26.98 juta.
Menurut Tek Seng, perjanjian kedua adalah dengan Tan Chong Siang Sdn Bhd bagi pengambilalihan dua bidang tanah di Seberang Perai Tengah pada harga RM6.98 juta.
“Pertimbangan pembelian itu akan ditunaikan menerusi pengumpulan dana secara dalaman dan/atau menerusi pinjaman bank,” katanya.
Transaksi terbabit juga sejajar dengan strategi mendapatkan tanah simpanan di lokasi-lokasi berhampiran kilangnya yang sedia ada bagi tujuan pelaburan dan/atau pengembangan kumpulan di masa akan datang.
— BERNAMA