KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) — Nilai perolehan kontrak Southern Cable Group Bhd (Southern Cable) naik kepada RM609.3 juta daripada RM578.4 juta pada 31 Disember 2022 berikutan tambahan kontraknya dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB).
Pengarah Urusan Tung Eng Hai berkata dengan tambahan itu, nilai kontrak kumpulan itu dengan TNB untuk membekalkan kabel dan konduktor bawah tanah telah meningkat kepada RM332.1 juta daripada RM293.8 juta sebelumnya.
“Kami bersikap positif terhadap prospek untuk tahun 2023 kerana projek merentas pelbagai industri seperti tenaga, pembinaan dan infrastruktur merekodkan pulangan kukuh dalam tahap aktiviti.
“Selain itu, tumpuan Belanjawan 2023 yang dibentangkan semula pada projek berimpak tinggi akan menyumbang kepada pertumbuhan seterusnya dalam permintaan untuk kabel dan wayar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tung berkata tambahan kontrak oleh TNB menyokong tempahan Southern Cable untuk tahun tersebut dan membuktikan keadaan pasaran yang semakin baik.
Tambahan pula kumpulan itu juga meneruskan lebih banyak perniagaan kerana aliran tender untuk projek baharu telah kembali kukuh sekali gus menyokong prospek positif pada masa hadapan, katanya.
Pesanan semasa Southern Cable akan dipenuhi sehingga 2024.
— BERNAMA




