KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) — Anak syarikat Uzma Bhd, Malaysian Energy Chemical and Services Sdn Bhd, telah memperoleh dua kontrak pembekalan daripada Sabah Shell Petroleum Company Ltd yang bernilai RM68.1 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Uzma berkata kontrak tiga tahun itu adalah untuk membekalkan pengeluaran secara bersepadu dan kimia berintegriti serta perkhidmatan berkaitan untuk Malikai Stage 1 dan Gumusut Kakap, di luar pesisir Sabah.
“Kontrak itu tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham syarikat kerana ia tidak melibatkan sebarang terbitan saham biasa dalam syarikat.
“Bagaimanapun, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2023 dan seterusnya sehinggalah kontrak tamat,” katanya.
— BERNAMA




