KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) — VS Industry mencatat keuntungan bersih lebih rendah bagi suku kedua berakhir 31 Jan, 2023, kepada RM30.36 juta berbanding RM44.49 juta dalam suku sebelumnya.
Perolehan hasilnya bagaimanapun naik 13.1 peratus kepada RM1.15 bilion daripada RM1.01 bilion sebelumnya, disumbangkan terutamanya oleh segmen Malaysia susulan peningkatan tempahan daripada pelanggan utama.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, pengeluar elektrik dan elektronik itu menyifatkan penurunan keuntungan bersih itu disebabkan oleh kerugian pertukaran asing dan kos pembiayaan yang tinggi.
Menurutnya, bagi tempoh enam bulan pertama berakhir pada 31 Jan, 2023, keuntungan bersih VS Industry meningkat kepada RM91.07 juta daripada RM83.88 juta manakala perolehan meningkat 23.2 peratus kepada RM2.44 bilion daripada RM1.98 bilion sebelumnya.
Segmen di Singapura yang berperanan sebagai cabang pasaran bagi operasi Malaysia, mencatat keuntungan sebelum cukai lebih rendah bagi suku semasa serta suku-suku terkumpul, seiring dengan penurunan tempahan jualan daripada pelanggan utama.
“Bagi suku semasa, segmen Indonesia mencatat keuntungan lebih rendah walaupun pendapatan meningkat yang disebabkan oleh faktor pertukaran asing. Selain itu, bagi suku terkumpul, keuntungan sebelum cukai pula meningkat seiring dengan pertambahan pendapatan.
“Dalam pada itu, segmen di China terus mencatat kerugian akibat keadaan yang amat mencabar di negara berkenaan. Berikutan ketiadaan tempahan besar, asas pendapatan yang rendah itu masih tidak cukup untuk menampung kos tetap,” katanya.
Kumpulan berkenaan telah mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 0.3 sen bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai, 2023, yang akan dibayar pada 28 April, 2023.
Menyentuh prospek, VS Industry menyatakan telah bersedia sepenuhnya bagi menangani cabaran yang mungkin berlaku dan disokong oleh faktor pengurusan berpengalaman, rekod prestasi serta lembaran imbangan yang mantap.
— BERNAMA




