KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) — Pengeluar pembungkusan dan pemaju hartanah Scientex Bhd akan melakukan penerokaan sulungnya dalam industri pembinaan rumah mampu milik di Indonesia.
Scientex dalam satu kenyataan hari ini berkata bagi tujuan itu pihaknya telah memeterai usaha sama dengan Mustika Land dari Indonesia dan Creed Group dari Jepun.
Sebuah syarikat usaha sama akan ditubuhkan oleh anak syarikat ketiga-tiga syarikat tersebut iaitu Scientex Quatari Sdn Bhd (STX) daripada Scientec, PT Graha Mustika Tamansari (PT GMT) daripada Mustika Land dan Creed Property PH-1 Pte Ltd (CRD) daripada Creed Group.
PT GMT akan memegang 60 peratus pegangan manakala STX dan CRD akan memegang kepentingan masing-masing sebanyak 20 peratus dalam syarikat usaha sama itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Scientex Lim Peng Jin berkata setelah menyiapkan hampir 28,000 rumah bertanah mampu milik dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kumulatif RM8.0 bilion di seluruh Malaysia, syarikat itu kini bersedia untuk memulakan strategi rentas sempadan bagi menembusi pasaran baharu di Asia Tenggara dan memenuhi permintaan serantau.
“Visi jangka panjang kami adalah untuk mengembangkan jenama Scientex kami dalam sektor pembangunan hartanah Indonesia dan berkongsi pengetahuan, kepakaran dan pengalaman kami membina rumah mampu milik di rantau ini,” katanya.
Syarikat usaha sama itu kemudiannya akan membeli tanah daripada PT GMT bagi pembangunan Fasa 1 perbandaran Graha Mustika Tamansari di Bekasi, Jakarta, yang disasarkan siap pada 2025.
Projek pembangunan itu melibatkan pembangunan 400 rumah bertanah mampu milik dengan nilai pembangunan kasar US$19 juta (US$1=RM4.471).
— BERNAMA