KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) — Keuntungan bersih Scientex Bhd bagi suku kedua berakhir 31 Jan, 2023 meningkat 13.5 peratus kepada RM106.29 juta daripada RM93.69 juta yang dicatatkan semasa suku kedua tahun kewangan 2022.
Prestasi ini didorong oleh campuran produk lebih baik dengan pembungkusan pengguna selain jualan hartanah yang memberangsangkan dan kemajuan pembinaan yang positif.
Perolehan naik 2.8 peratus kepada RM978.39 juta daripada RM952 juta bagi tempoh yang sama.
“Perolehan hartanah meningkat 24.7 peratus kepada RM323.3 juta daripada RM259.2 juta yang dicatatkan semasa suku yang sama tahun kewangan 2022,” jelasnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu.
Menurut Scientex sumbangan daripada bahagian hartanah yang lebih tinggi telah mengurangkan penurunan yang dialami oleh bahagian pembungkusan seiring dengan sentimen global.
Ketua Pegawai Eksekutif, Lim Peng Jin berkata pelan jangka panjang Scientex bagi bahagian pembungkusan berjalan baik termasuk langkah mengutamakan inovasi mampan menerusi kerjasama dengan pelanggan global untuk memenuhi matlamat kemampanan mereka dengan penyelesaian lebih lestari.
“Kami juga terus membawa inovasi baharu untuk pelanggan, yang mempertingkatkan nilai produk, kelebihan saing serta mengoptimumkan prestasi dan kecekapan mereka,” katanya.
Beliau berkata bahagian hartanah Scientex mencatatkan pembelian kukuh bagi projek rumah mampu milik bernilai RM1.15 bilion yang telah dilancarkan bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Julai, 2023 di pelbagai negeri di Malaysia iaitu Johor, Melaka, Selangor, Pulau Pinang serta pelancaran sulung di Kedah.
“Dalam melangkah maju, Scientex berhasrat mengekalkan kadar pertumbuhan kukuh kedua-dua bahagian utama yang tertumpu kepada mencapai kesejahteraan keseluruhan pihak berkepentingan termasuk pelanggan dan masyarakat umumnya sebagai sebahagian teras alam sekitar, sosial dan tadbir urus kami,” katanya.
— BERNAMA
TAG: Scientex, prestasi kewangan, suku kedua, hartanah, rumah mampu milik