KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) — Icon Offshore Bhd (Icon) bercadang untuk melaksanakan pengurangan modal saham terbitannya sebanyak RM830 juta untuk menghapuskan kerugian terkumpul syarikat dan kumpulan anak syarikatnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu juga telah mengumumkan cadangan penyatuan setiap lima saham biasa sedia ada dalam syarikat yang dipegang oleh pemegang sahamnya.
“Cadangan pengurangan modal itu bertujuan untuk menangani kerugian terkumpul masa lalu kumpulan dan memudahkan pengisytiharan dividen sekiranya syarikat mengekalkan pendapatan pada masa hadapan.
“Cadangan penyatuan saham itu dijangka meningkatkan struktur modal saham syarikat dan mengurangkan turun naik harga dagangan bagi saham itu,” katanya.
Cadangan pengurangan modal sebanyak RM830 juta ditentukan oleh lembaga pengarah, selepas mengambil kira kerugian terkumpul kumpulan yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2021 sebanyak kira-kira RM811.94 juta dan kerugian terkumpul yang belum diaudit kumpulan untuk tahun kewangan 2022 berjumlah RM822.41 juta.
Sehubungan itu, pelarasan sebanyak RM830 juta daripada pembatalan tersebut akan digunakan untuk menghapuskan kerugian terkumpul kumpulan secara keseluruhannya, manakala baki, jika ada, akan dikreditkan ke akaun pendapatan terkumpul kumpulan.
Cadangan penyatuan saham akan dilaksanakan selepas selesai cadangan pengurangan modal. Pada 13 Feb 2023, modal saham terbitan Icon adalah kira-kira RM1.15 bilion terdiri daripada 2.71 bilion saham dan Waran A tertunggak berjumlah 654.52 juta.
Icon juga berkata tiada penggantungan akan dikenakan ke atas dagangan saham dan waran A di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) bagi tujuan melaksanakan cadangan penyatuan saham.
“Cadangan itu tertakluk kepada kelulusan daripada Bursa Securities, pemegang saham Icon pada mesyuarat agung luar biasa yang akan datang, pemberian perintah oleh Mahkamah dan persetujuan pemiutang kumpulan itu,” katanya.
Cadangan itu dijangka selesai pada suku ketiga 2023 dan permohonan untuk cadangan penyatuan saham dijangka diserahkan kepada Bursa Securities dalam tempoh sebulan dari hari ini.
— BERNAMA