KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) — Nestle (Malaysia) Bhd mencatat keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM620.33 juta bagi tahun kewangan (TK) berakhir pada 31 Dis 2022 (TK 2022) daripada RM569.81 juta bagi TK21 berikutan peningkatan permintaan terhadap makanan dan minuman (F&B) pasca-pandemik.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata perolehan hasil turut meningkat kepada RM6.67 bilion berbanding RM5.73 bilion sebelum ini yang didorong oleh jualan domestik dan eksport.
Bagi suku keempat 2022, keuntungan bersihnya menokok kepada RM132.85 juta daripada RM112.10 pada suku sama tahun sebelumnya dan hasil meningkat kepada RM1.65 bilion daripada RM1.47 bilion sebelum ini.
Menurut Nestle, segmen teras iaitu F&B terus mengekalkan momentum positif manakala perniagaan luar rumah (OOH) bagi keperluan restoran, hotel dan saluran jualan berkaitan hospitaliti lain, terbukti pulih dengan kukuh susulan berakhirnya sekatan pergerakan pada suku kedua 2022.
“Prestasi lebih kukuh dalam suku akhir tahun itu jelas memaparkan usaha berterusan dalam memastikan jenama kami kekal relevan terhadap keperluan serta jangkaan rakyat Malaysia.
“Kami juga akan terus memanfaatkan setiap peluang bagi memacu dan memenuhi permintaan kukuh terhadap jenama-jenama kami,” katanya.
Mengulas prospek di masa depan, Nestle berkata ketidaktentuan senario ekonomi dijangka berterusan berikutan tekanan inflasi selain turun naik harga komoditi dan mata wang terdapatnya tanda-tanda kemelesetan yang ketara di beberapa negara utama dunia.
“Harga komoditi makanan dan inflasi makanan kekal tinggi di sepanjang separuh pertama 2023. Namun kami menjangkakan peningkatan yang progesif bagi tempoh akhir tahun ini.
“Dalam keadaan sedemikian, kami akan terus melipatgandakan usaha untuk terus fokus pada perkara penting — menepati dan menampung keperluan rakyat Malaysia selain melabur dalam aspek keupayaan untuk memacu pertumbuhan yang menguntungkan,” katanya.
— BERNAMA




