KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) — Pesona Metro Holdings Bhd berkata subsidiarinya telah memenangi kerja kontraktor siap guna bernilai RM948.13 juta daripada Danau Lumayan Sdn Bhd untuk projek pembangunan hartanah kediaman.
Projek itu merangkumi pembangunan dua fasa 3,438 rumah kediaman di Bandar Tun Razak.
“Projek tersebut akan bermula pada tarikh perjanjian.
“Fasa satu dan fasa dua akan siap dalam tempoh 36 bulan atau tempoh lanjutan yang mungkin diberikan oleh pihak berkuasa yang berkaitan dari tarikh penerimaan surat kepada Danau Lumayan (untuk memulakan kerja),” kata syarikat itu kepada bursa saham.
Pesona Metro berkata risiko yang berkaitan dengan projek itu kebanyakan bersifat risiko operasi seperti penyiapan dan risiko kredit.
“Bagaimanapun, Pesona Metro akan memastikan pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan dan operasi dalam pelaksanaan projek untuk meminimumkan sebarang pendedahan risiko operasi.
“Selain itu, pendedahan kepada risiko kredit akan dipantau secara berterusan, yang mana tindakan akan diambil bagi sebarang hutang tertunggak yang agak lama,” katanya.
— BERNAMA




