KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) — Muhibbah Engineering (M) Bhd memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM172.6 juta daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Isnin, Muhibbah menjelaskan kontrak itu adalah bagi pembinaan bangunan pejabat dan kilang sembilan tingkat, satu bangunan tempat letak kenderaan enam tingkat dengan keperluan pencawang dan mekanikal Tenaga Nasional Bhd, serta satu unit depot bahan buangan biasa, depot sisa pejabat dan bilik kitar semula di Kawasan Perindustrian Technoplex, Bayan Lepas di Pulau Pinang.
“Kontrak itu dijadualkan bermula hari ini dan dijangka siap dalam tempoh 14 bulan daripada tarikh mula dilaksanakan,” tambahnya.
Menurut Muhibbah Engineering kontrak itu diunjurkan menyumbang secara positif kepada keuntungan dan aset bersihnya bagi tahun kewangan semasa dan akan datang.
— BERNAMA




