KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) — Pembekal perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) Betamek Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya Betamek Electronics (M) Sdn Bhd, telah memperoleh kontrak bernilai RM123.5 juta untuk membekalkan pelbagai alat ganti elektronik bagi model Perodua baharu.
Pembekalan alat-alat ganti ini bermula pada suku keempat tahun kewangannya yang berakhir pada 31 Mac 2023 dan untuk tempoh selama enam tahun, kata Betamek dalam satu kenyataan hari ini.
Pengarah Urusan Mirzan Mahathir berkata syarikat itu yang menyediakan penyelesaian EMS sehenti kepada pengeluar automotif, optimis bahawa permintaan untuk produk audio visual (AV) kenderaan dan aksesori kenderaannya akan terus berkembang memandangkan pelanggan utamanya, Perodua terus menyaksikan permintaan yang kian meningkat untuk kenderaannya.
“Kerjasama kami dengan Perodua telah menjangkau lebih dua dekad, dan kami berbesar hati untuk meneruskan hubungan ini dengan membekalkan teknologi terkini untuk model-model kenderaan terbaharu syarikat,” tambahnya.
Sehingga Januari 2023, Perodua mempunyai 220,000 tempahan tertunggak untuk dipenuhi.
Betamex berkata pengeluar kereta itu baru-baru ini mengumumkan ia sedang berusaha untuk memaksimumkan pengeluarannya kepada 330,000 unit dan menyasarkan jualan 314,000 unit tahun ini, disokong oleh tempahan tertunggak yang dibawa ke hadapan daripada tahun lepas serta permintaan berterusan untuk kenderaannya setakat tahun ini.
— BERNAMA




