KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) — Iris Corporation Bhd (Iris Corp) telah memeterai perjanjian penjualan saham (SSA) dengan Tass Tech Technologies Sdn Bhd (Tass Tech) membabitkan pelupusan 80 peratus kepentingan ekuiti dalam unitnya, Iris Information Technology Systems Sdn Bhd (IITS) pada tunai RM70 juta.
Iris Corp dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata cadangan pelupusan itu akan membolehkan syarikat membuka kunci pelaburannya dalam IITS, dan pertimbangan pelupusan akan menyumbang secara positif kepada aliran tunainya.
“Hasil daripada pelupusan yang dicadangkan itu akan dipakai sebagai modal kerja bagi perniagaan sedia ada dan sebarang pengembangan perniagaan masa depan yang dijalankan oleh kumpulan.
“Anggaran tempoh masa bagi penggunaan tersebut adalah dalam tempoh 18 bulan dari tarikh penerimaan pertimbangan pelupusan,” katanya.
Cadangan pelupusan itu dijangka selesai menjelang Ogos 2023 selepas penyelesaian penuh pertimbangan pelupusan oleh Tass Tech dalam tempoh enam bulan dari tarikh SSA.
“Setelah selesai pelupusan, syarikat dijangka memperoleh keuntungan sebanyak RM7.22 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024,” katanya.
Pada tarikh SSA, jumlah modal saham terbitan dan berbayar IITS, masing-masing sebanyak enam juta saham biasa dan RM6 juta.
Berdasarkan penyata kewangan terkini IITS yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022, keuntungan bersih syarikat serta nilai aset bersih masing-masing dalam RM480,000 dan RM37.50 juta.
— BERNAMA




