KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) — SMRT Holdings Bhd bercadang untuk membeli 1.80 juta saham biasa dalam N’osairis Technology Solutions Sdn Bhd (NTS), mewakili baki 36.0 peratus kepentingan ekuiti dalam NTS daripada Permata Kirana Sdn Bhd dengan nilai tunai RM72 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, SMRT juga bercadang untuk menjual 69.67 juta saham biasa dalam anak syarikat milik penuhnya, SMR Education Sdn Bhd (SMRE), mewakili 100.0 peratus kepentingan ekuiti dalam SMRE, kepada Special Flagship Holdings Sdn Bhd dengan tunai RM49.45 juta.
SMRE terutamanya terlibat dalam pegangan pelaburan, yang kini memegang 42.08 peratus daripada Minda Global Bhd (MGB). Setelah selesai cadangan penjualan, SMRT tidak lagi memegang 100 peratus kepentingan ekuiti dalam SMRE dan 42.08 peratus dalam MGB.
SMRT juga bercadang untuk mewujudkan pelan geran saham sehingga 20.0 peratus daripada jumlah keseluruhan saham terbitannya untuk pengarah dan pekerja SMRT dan anak syarikatnya.
Mengenai cadangan pembelian itu, kumpulan itu berkata ia adalah sebahagian daripada strategi kumpulan SMRT untuk menyelaraskan operasinya dan membolehkannya menumpukan sepenuhnya pada perniagaan teknologinya melalui pembelian NTS.
Kumpulan itu juga berusaha untuk merasionalkan dan menyelaraskan perniagaan teknologinya, yang lebih menguntungkan daripada perniagaan pendidikannya sepanjang tahun kebelakangan ini.
Setelah selesai cadangan pembelian, SMRT akan memegang 100 peratus kepentingan ekuiti dalam NTS, yang akan menjadi anak syarikat milik penuhnya.
— BERNAMA




