KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) — Sime Darby Plantation Bhd (SDP) menjangkakan dapat meneruskan semula eksport minyak sawit ke Amerika Syarikat (AS) susulan keputusan pihak Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS bahawa produknya tidak membabitkan buruh paksa.
Kenyataan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS, CBP telah memutuskan bahawa produk-produk SDP tidak lagi dihasilkan menerusi penggunaan buruh paksa yang menyalahi Seksyen 307 Akta Tarif 1930 negara itu.
Dalam kenyataan bagi menjawab pertanyaan Bernama, SDP yang juga konglomerat perladangan itu berkata, ia menyedari notis CBP yang dipaparkan di laman sesawang Pendaftaran Persekutuan di bawah bahagian Pemeriksaan Awam dan akan membuat kenyataan rasmi mengenainya selepas notifikasi berkenaan dikeluarkan.
“Kami optimis bahawa semua usaha besar yang dilakukan demi meningkatkan kualiti kehidupan barisan tenaga kerja kami akan diiktiraf oleh pihak CBP dan kami dibenarkan untuk menyambung semula eksport ke AS,” katanya.
Pada 30 Dis 2020, CBP bertindak mengeluarkan perintah sekatan terhadap SDP dan semua produk minyak sawitnya dan yang dihasilkan oleh anak-anak syarikat serta usaha sama di peringkat operasi di Malaysia atas alasan beberapa produk terbabit dihasilkan menerusi khidmat buruh paksa.
— BERNAMA