KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) — Anak syarikat Reservoir Link Energy Bhd, Founder Energy Sdn Bhd memperoleh pesanan pembelian RM11.4 juta daripada anak syarikat milik penuh Sunview Group Bhd, Fabulous Sunview Sdn Bhd, untuk pembangunan loji fotovolta solar berskala besar di Malaysia.
Dalam satu kenyataan hari ini, Reservoir Link berkata unit 51 peratus miliknya itu akan membekalkan sistem panel solar antara Januari dan April tahun ini.
Pengarah Eksekutif Thien Chiet Chai berkata dalam bulan pertama (tahun ini), penyedia perkhidmatan berkaitan tenaga itu memperoleh kontrak kedua di bawah cabang tenaga boleh diperbaharuinya.
“Kami yakin kami akan dapat meraih lebih banyak kontrak dalam beberapa bulan akan datang memandangkan kehadiran kami yang kukuh dalam ruang tenaga boleh diperbaharui.
“Melangkah ke hadapan, kami juga akan secara strategik mencari peluang perniagaan yang lebih pelbagai untuk meluaskan lagi penawaran kami dalam tenaga boleh diperbaharui (dan) bukan sahaja terhad kepada solar,” katanya.
— BERNAMA




