KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) — Subsidiari Dagang NeXchange Bhd (DNeX), Ping Petroleum Sdn Bhd (PPSB) telah memeterai dua kontrak berasingan untuk pembangunan serta pengeluaran minyak dan gas (O&G) dari kluster Meranti dan kluster A, luar pesisir Malaysia.
DNeX dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata unitnya telah menandatangani kontrak dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Duta Marine Sdn Bhd berhubung Kluster Meranti, serta dengan Petronas dan Petroleum Sarawak Exploration and Production Sdn Bhd (PSEP) berhubung Kluster A.
Bagi Kluster Meranti, PPSB akan mempunyai 60 peratus kepentingan penyertaan dan Duta Marine 40 peratus, manakala bagi kluster lain, PPSB akan memegang 70 peratus, bakinya dimiliki PSEP.
PPSB akan bertindak sebagai operator untuk menjalankan keputusan berhubung pembangunan dan pengeluaran kedua-dua kluster ini.
c, dengan tempoh pembangunan sehingga empat tahun dan tempoh pengeluaran 10 tahun bermula dari tarikh pengeluaran komersial pertama medan petroleum, atau sehingga tamat tempoh perjanjian, yang mana lebih awal.
Projek tersebut akan membolehkan kumpulan mempelbagaikan perniagaan tenaganya berbanding menanggung risiko aset tunggal, mempelbagaikan secara geografi dan beroperasi dalam persekitaran kos rendah.
“Selain itu, kumpulan akan dapat terus mengembangkan perniagaannya secara organik termasuk meneruskan pelan peluasan bagi menawarkan perkhidmatannya ke pasaran baharu,” katanya.
Selain terlibat dalam penerokaan dan pengeluaran O&G huluan, DNeX juga terbabit dalam pengeluaran semikonduktor serta teknologi maklumat.
— BERNAMA