KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) — Anak syarikat PLS Plantations Bhd, PLS LESB Sdn Bhd (PLS-LESB, menandatangani Perjanjian Induk (HoA) dengan anak syarikat Myfarm Inc Jepun, Millennium Agriculture Technology Sdn Bhd (MAT), untuk cadangan pelaburan bersama dalam unit PLS LESB.
Menurut Perjanjian Induk itu, MAT akan melabur sehingga 49 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat milik penuh PLS-LESB, yang 51 peratus dimiliki oleh PLS Plantations.
“PLS-LESB akan memiliki baki 51 peratus bagi jumlah pembayaran sehingga RM181.8 juta dan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh pelaksanaan perjanjian, MAT akan membayar kepada pemegang kepentingan PLS LESB deposit yang boleh dikembalikan bersamaan dengan dua peratus daripada pembayaran pelaburan kira-kira RM3.6 juta,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat tersebut berkata, pelaburan itu melibatkan penggunaan komersial sehingga 1,000 hektar ladang durian yang ditanam dan dibangunkan menerusi pelaburan bersama itu.
MAT merupakan syarikat yang baharu diperbadankan di Malaysia bagi tujuan pelaburan dan pengurusan perniagaan pertanian dan perladangan manakala Myfarm adalah rangkaian perundingan pertanian bersepadu dan pengaktifan semula tanah ladang yang berpangkalan di Kyoto, Jepun yang menghubungkan aset pertanian dan petani bagi peningkatan kemahiran.
— BERNAMA




