KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) — Syarikat perladangan, Harn Len Corporation Bhd menandatangani perjanjian jual saham bersyarat (CSSA) dengan Datuk Mohamed Nizam Mohamed Jakel daripada Jakel Group untuk membeli 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Almal Resources Sdn Bhd (ARSB) pada RM54.71 juta.
Ketua Pegawai Operasi Harn Len, Kelvin Low Yew Yern berkata RM21.9 juta, mewakili 40 peratus daripada harga belian, akan dibiayai menerusi terbitan dan pengumpukan 31.3 juta saham biasa baharu Harn Len pada harga terbitan RM0.70 sesaham manakala baki 60 peratus daripada jumlah itu akan dibayar secara tunai.
Beliau berkata apabila pembelian itu selesai, Mohamed Nizam, yang juga Ketua Pegawai Operasi Jakel Group, akan menjadi antara pemegang saham utama Harn Len dengan memegang 5.5 peratus saham.
“Tujuan pembelian ini adalah suntikan kepada perladangan sawit yang memberikan kami peluang mempelbagaikan perniagaan perladangan daripada sawit kepada tanaman lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian perjanjian itu di sini, pada Khamis.
Beliau berkata ARSB memiliki 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Pahang Coconut Valley Corporation Sdn Bhd (PCVCSB) yang memegang hak pajakan tanah selama 60 tahun bagi tanah perladangan di Rompin, Pahang.
“Ini membantu meningkatkan simpanan tanah Harn Len daripada 42,724.5 ekar (17,289 hektar) kepada 46,777.1 ekar (18,927 hektar),” katanya.
Tanah perladangan di Rompin itu kini ditanam dengan nanas dan sawit.
Jakel Group menjalankan perniagaan peruncitan tekstil, pembuatan dan pembangunan hartanah.
Harn Len pula terlibat terutama dalam perladangan sawit, operasi kilang minyak sawit dan pelaburan hartanah, dengan perniagaan sawit terus menjadi perniagaan utama syarikat apabila menyumbang hampir 99 peratus kepada perolehan syarikat.
— BERNAMA
TAG: Harn Len, Jakel Holdings, CSSA, ARSB, Kelvin Low Yew Yern, Mohamed Nizam Mohamed Jakel




