KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) — Anak syarikat milik penuh ManagePay Systems Bhd (MPay), ManagePay Resources Sdn Bhd (MRSB), telah mendapat kelulusan bersyarat daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk beroperasi sebagai pemberi pinjaman wang dalam talian di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400).
MPay dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata lesen peminjam wang dalam talian MRSB, bertarikh 30 Ogos 2022, tertakluk kepada syarat-syarat yang perlu dipenuhi dalam tempoh enam bulan mulai 9 Jan 2023 hingga 8 Julai 2023.
MPay berkata kelulusan bersyarat itu tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan sesaham dan aset bersih sesaham syarikat serta subsidiarinya bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023.
Kelulusan bersyarat tersebut tidak akan memberi kesan kepada modal saham, penggearan dan pegangan saham pemegang saham yang besar syarikat.
— BERNAMA




