KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) — Saham Tenaga Nasional Bhd masih kekal menguntungkan dalam kalangan penganalisis memandangkan pendapatan dan pembayaran dividennya yang stabil.
Hong Leong Investment Bank telah mengekalkan saranan ‘Beli’ ke atas saham tersebut memandangkan pendapatan yang stabil dan pembayaran dividen syarikat pada tahun kewangan 2023 (TK2023).
“Pendapatan TNB dijangka kekal stabil pada tahun kewangan 2023. Kami positif dengan komitmen jangka panjang syarikat gergasi utiliti itu terhadap arah pertumbuhan bagi alam sekitar, kemampanan dan tadbir urus (ESG), sambil memastikan pulangan kepada pemegang sahamnya,” kata HLIB dalam nota kajiannya.
CGS-CIMB pula berkata dasar pembayaran dividen TNB di antara 30 dan 60 peratus adalah berdasarkan pelarasan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI). Kumpulan itu telah membayar lebih 50 peratus daripada pelarasan PATAMI sebagai dividen sejak 2018.
“Kami berpendapat TNB menyasarkan untuk mengagihkan dividen ke arah tahap yang lebih tinggi bagi dasar polisinya. Harga sasaran kami kekal pada RM13.60 sesaham. Kami menyukai TNB kerana ia memberi hasil dividen yang baik melebihi lima peratus untuk unjuran TK2022-TK2024.
“Ia bersedia untuk mendapat manfaat daripada peralihan tenaga Malaysia. Sebagai contoh, pelaburan grid tambahan dan peluang dalam tenaga boleh diperbaharui (RE) mampu meningkatkan pendapatannya dan meningkatkan persepsi orang ramai terhadap ESG TNB,” tambahnya.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah memberitahu Bernama bahawa TNB harus dinilai dari dua perspektif, sebagai firma untuk memaksimumkan keuntungan, dan penyedia utiliti nasional.
Beliau berkata TNB mempunyai kewajipan sosial dan adalah penting untuk syarikat utiliti itu mematuhinya bagi manfaat rakyat dan negara.
TNB selama ini telah memberi dividen secara berterusan kepada pemegang saham, terutamanya pada awal pandemik COVID-19 pada 2019 dan kemuncak pandemik pada 2020.
Syarikat utiliti nasional itu mengumumkan dividen akhir sebanyak 20 sen sesaham dan dividen khas sebanyak 50 sen sesaham, yang menjadikan jumlah pembayaran TK2019 kepada RM5.69 bilion untuk tahun yang sama. Ia adalah bayaran dividen tertinggi setakat ini.
Pada TK2020, TNB mengumumkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 18.0 sen sesaham biasa dan dividen khas satu peringkat sebanyak 40.0 sen sesaham biasa, yang berjumlah kira-kira RM3.31 bilion, manakala untuk TK2021, ia mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 18 sen sesaham, yang berjumlah RM1.03 bilion untuk pembayaran dividen.
Pembayaran dividen yang mantap ini telah memberi manfaat kepada pelabur yang terbesar, antaranya ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Pertubuhan Keselamatan Sosial dan Khazanah Nasional Bhd.
TNB juga merupakan salah satu saham berwajaran tinggi yang disenaraikan di Bursa Malaysia dengan permodalan pasaran RM52.3 bilion pada 23 Dis, 2022.
— BERNAMA