KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) — Supercomnet Technologies Bhd bercadang memindahkan penyenaraian dan sebut harga keseluruhan modal saham terbitan dan warannya dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities.
Dalam makluman kepada bursa hari ini, Supercomnet berkata ia juga bercadang untuk mengguna pakai perlembagaan syarikat baharu bagi memudahkan pelaksanaan cadangan pemindahan itu.
“Cadangan pemindahan itu akan meningkatkan keyakinan rakan perniagaan, kakitangan dan pemegang saham melalui profilnya sebagai sebuah syarikat yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Securities,” kata syarikat berkenaan.
Selain itu, katanya, ia juga menandakan pertumbuhan, keuntungan dan kekuatan kewangan kumpulan kerana telah memenuhi keperluan rekod prestasi untuk pemindahan ke Pasaran Utama Bursa Securities.
Setakat 16 Dis, 2022, modal saham terbitan Supercomnet berjumlah RM184.34 juta, terdiri daripada 761.87 juta saham biasa, tidak termasuk saham perbendaharaan.
“Syarikat juga mempunyai 95.36 juta waran yang terkandung dalam surat ikatan bertarikh 29 Mei 2019 dan tamat tempoh pada 19 Jun 2024,” katanya.
— BERNAMA
 
			 
		    




