KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) — Celcom Axiata Bhd dan Digi Telecommunications Sdn Bhd (CelcomDigi) telah bekerjasama dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk melengkapkan platform luar pesisirnya dengan sambungan tanpa wayar penuh seiring dengan matlamat syarikat tenaga global itu untuk memiliki platform kesalinghubungan yang paling banyak di Asia.
CelcomDigi dalam satu kenyataan hari ini berkata persekitaran komunikasi yang lebih baik di platform akan memberi banyak manfaat kepada tenaga kerja luar pesisir Petronas yang terletak di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Memiliki liputan kesalinghubungan berkelajuan tinggi penuh pada platform tersebut bermakna ia mempunyai 100 peratus keupayaan tanpa wayar yang membolehkan ahli kru platform mempunyai mobiliti 100 peratus dan menguruskan tugas mereka dari jarak jauh dengan peranti pintar.
“Ia boleh dilengkapi dengan peranti Internet Pelbagai Perkara untuk memastikan ia sentiasa berhubung sepanjang masa tidak kira di mana ia berada di platform dan memberi amaran terhadap sebarang bahaya yang berpotensi berlaku,” kata kenyataan itu.
Rakan kongsi penyelesaian ketersambungan digital CelcomDigi akan menggunakan dan memudahkan rangkaian evolusi jangka panjang (LTE) persendirian ke semua platform luar pesisir utama serta memperkasakan rangkaian teras LTE khusus di pusat data Petronas.
CelcomDigi juga akan menyediakan Petronas perkhidmatan komprehensif untuk mengurus operasi rangkaian secara menyeluruh, penyelenggaraan di lapangan dan pemantauan perkhidmatan oleh jurutera operasi yang berkemahiran tinggi.
Penggunaan rangkaian LTE persendirian terjamin itu dimulakan pada 2019 di salah satu platform luar pesisir utama Petronas, ia membolehkan kerjasama masa nyata dan meningkatkan produktiviti pada platform dengan ketara, katanya.
Ketua Pegawai Digital Petronas, Aadrin Azly berkata pada setiap transformasi, digital harus sentiasa melayani kepentingan perniagaan dan kakitangannya.
“Petronas tidak terkecuali daripada etos ini. Menerusi keupayaan untuk menyambungkan aset pada jarak jauh dan menyokong kependaman rendah dan pemindahan data jalur lebar berkelajuan tinggi, ketersambungan Digi sangat sesuai dengan persekitaran luar pesisir serta menyediakan komunikasi yang sangat diperlukan dengan orang tersayang bagi mereka yang tinggal dan bekerja di luar pesisir selama beberapa minggu pada satu masa,” katanya.
Ketua Jualan Perusahaan CelcomDigi, Patricia Chooi berkata kerjasama itu menekankan komitmen untuk menyampaikan pengalaman digital terbaik untuk meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan pekerja Petronas serta meningkatkan produktiviti di platform luar pesisir.
“Kami berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan pendigitalan ini untuk menyokong usaha Petronas bagi menghubungkan semua platform dan kemudahan luar pesisirnya dengan teknologi inovatif serta penyelesaian digital yang khusus untuk meningkatkan prestasi operasinya dan mengekalkan standard keselamatan yang tinggi,” katanya.
— BERNAMA




