KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) — Kerajaan meluluskan pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) diteruskan bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun 2023, kata Tenaga Nasional Bhd (TNB).
Syarikat utiliti kuasa itu berkata keputusan itu yang diumumkan dalam satu kenyataan media oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini adalah bagi menangani peningkatan kos penjanaan tambahan berikutan harga bahan api yang lebih tinggi yang digunakan untuk bekalan elektrik bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Dis 2022.
“TNB juga ingin memaklumkan bahawa kesan pelaksanaan ICPT adalah neutral terhadap TNB dan tidak akan memberi sebarang kesan ke atas operasi perniagaan dan kedudukan kewangannya,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Butiran lanjut berkenaan pelaksanaan ICPT boleh didapati di laman sesawang Suruhanjaya Tenaga (http://www.st.gov.my/).
— BERNAMA




