KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) — Keuntungan bersih Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) susut kepada RM157.21 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2022 (TK2022) daripada RM182.74 juta setahun sebelumnya.
EcoWorld Malaysia dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata hasil untuk tahun kewangan 2022 tidak berubah pada RM2.04 bilion tahun ke tahun walaupun mencatatkan keuntungan kasar yang lebih tinggi sebanyak 15 peratus terutamanya disebabkan oleh margin lebih tinggi yang dicapai pada tahun kewangan 2022 berikutan realisasi penjimatan kos daripada beberapa fasa yang sudah siap dan hampir siap.
“Hasil pada masa depan kumpulan kekal tinggi pada RM3.6 bilion setakat 31 Oktober 2022 sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan yang jelas pada masa hadapan,” tambahnya.
Sementara itu, EcoWorld Malaysia telah mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 2.0 sen sesaham pada suku keempat 2022, menjadikan jumlah dividen yang diisytiharkan untuk tahun kewangan 2022 kepada 5.0 sen sesaham.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EcoWorld Malaysia, Datuk Chang Khim Wah berkata sebanyak 20 peratus daripada jualannya pada tahun kewangan 2022 datang daripada portfolio perindustriannya yang besar dan berkembang maju.
“Presint (kawasan) komersil kami juga berkembang maju kerana usaha kami untuk membina dan mencipta nilai serta kejayaan dalam menarik sebahagian besar pangkalan pelanggan pemilik-penghuni telah menarik ramai peruncit dan pemilik perniagaan.
“Menyokong semua ini adalah model pembangunan perbandaran kami yang memberikan kami fleksibiliti luar biasa dalam menyesuaikan rangkaian produk kami untuk memenuhi keperluan dan permintaan pasaran yang berubah-ubah,” katanya.
EcoWorld Malaysia mencapai jualan tertinggi sebanyak RM3.84 bilion pada tahun kewangan 2022, melebihi sasaran jualannya sebanyak RM3.5 bilion dan melepasi rekod tertinggi sebelumnya sebanyak RM3.82 bilion yang dicapai pada tahun kewangan 2016.
Kumpulan itu berkata segmen di Malaysia turut mencatatkan jumlah jualan kediaman melebihi RM2.3 bilion kerana keputusan strategik kumpulan tersebut pada tahun kewanagan 2022 untuk melancarkan lebih banyak rumah yang telah dinaik taraf dan mewah di ketiga-tiga wilayah operasinya membuahkan hasil yang sangat positif.
Hampir RM1.7 bilion rumah berharga melebihi RM650,000 telah dijual, mewakili 44 peratus daripada jumlah jualan manakala rumah berharga di bawah RM650,000 juga merupakan komponen portfolio yang besar dengan jualan RM648.9 juta yang dicapai tahun ini.
— BERNAMA