KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) — Reneuco Development Sdn Bhd memeterai satu perjanjian usaha sama (JV) dengan kerajaan negeri Terengganu dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) bagi membangunkan projek perumahan bercampur serta mampu milik di negeri itu.
Projek pembangunan di Kuala Nerus, Terengganu itu melibatkan nilai pembangunan kasar (NPK) sebanyak RM293.76 juta.
Reneuco Development merupakan anak syarikat milik penuh Reneuco Bhd (Reneuco).
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Reneuco yang sebelum ini dikenali sebagai KPower Bhd, berkata projek itu merangkumi lebih daripada 1,000 unit rumah dan kedai di dua bidang tanah gabungan berkeluasan 19 hektar (46.92 ekar) milik kerajaan negeri Terengganu.
Kerja-kerja berkaitan akan bermula 60 hari dari tarikh kelulusan pelan bangunan tersebut.
“Cadangan pembangunan itu akan dimajukan serta siap dalam tempoh 60 bulan atau sebarang tempoh lanjutan yang dibenarkan secara bertulis oleh PMINT yang berkuatkuasa dari tarikh perjanjian.
“PMINT juga mempunyai hak mutlak untuk membenarkan sebarang lanjutan masa dengan caj penalti lewat dikenakan pada kadar 5.0 peratus setahun berdasarkan nilai tanah yang dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta,” katanya.
Reneuco berkata PMINT juga berhak untuk mengetepikan sebarang caj penalti lewat sekiranya berlaku atas alasan ‘force majeure’ atau keadaan memaksa seperti ditetapkan dalam perjanjian JV berkenaan.
— BERNAMA