KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) — Keuntungan bersih FGV Holdings Bhd (FGV) bagi suku ketiga berakhir 30 Sept 2022 turun kepada RM241.67 juta daripada RM399.39 juta yang direkodkan pada suku ketiga 2021.
Hasil, bagaimanapun, meningkat kepada RM6.18 juta daripada RM5.32 juta sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Ia berkata peningkatan hasil itu didorong oleh purata harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi yang dihasilkan pada suku tersebut, manakala keuntungan bersih yang lebih rendah terutamanya disebabkan oleh kerugian yang ditanggung dalam sektor gula dan penyusutan jumlah jualan MSM dan minyak sawit diproses (PPO) yang dicatatkan oleh sektor perladangannya.
Melangkah ke hadapan, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Nazrul Mansor berkata kumpulan itu kini giat mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran makanan Malaysia, bukan sahaja dari segi barangan makanan penting seperti minyak masak dan gula, tetapi juga membina kehadirannya dalam segmen produk makanan pengguna yang mempunyai nilai tambah yang lain.
Dari segi kemampanan, beliau berkata FGV kekal komited untuk menghormati dan memperjuangkan hak asasi manusia sebagai sebahagian daripada rangka kerja kelestariannya.
Dalam perkembangan sama, Nazrul berkata pemerolehan gula mentah yang mampan membolehkan anak syarikat FGV, MSM Malaysia Holdings Bhd mempunyai kebolehkesanan gula dan amalan mengikut komitmen rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG).
— BERNAMA




