KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) — Leform Bhd telah memulakan penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd hari ini pada 19.5 sen sesaham, diskaun sebanyak 3.5 sen daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 23 sen.
Pada loceng pembukaan, sejumlah 8.38 juta sahamnya telah diniagakan.
Syarikat pengeluar dan peniaga keluli itu mempunyai permodalan pasaran RM340.6 juta, berdasarkan modal sahamnya yang diperbesarkan sebanyak 1.48 bilion saham.
Bercakap kepada pemberita pada majlis penyenaraian syarikat di sini hari ini, Pengarah Urusan Law Kok Thye berkata kumpulan itu berhadapan dengan kekangan di bahagian ruang simpanan.
“Oleh itu, sejumlah besar hasil diperuntukkan untuk menyelesaikan masalah itu kerana pembinaan kemudahan gudang baharu akan meningkatkan kawasan penyimpanan kami selain menambah baik kecekapan operasi melalui penyatuan operasi penghantaran dan penggunaan sistem penyimpanan yang lebih sistematik,” katanya .
Beliau juga berkata hasil daripada penyenaraian akan membantu dalam merealisasikan aliran hasil baharu apabila kumpulan itu mengkonfigurasi semula beberapa kilang paipnya untuk pelbagai produk yang lebih hebat.
“Sementara itu, peningkatan modal kerja dan penginapan bagi pekerja baharu diperlukan untuk menyokong pengembangan yang dijangkakan,” kata Law.
Sementara itu, Penasihat dan Pengarah Eksekutig Kumpulan Phang Yew Choong berkata kumpulan itu juga akan melihat kemungkinan untuk memasang panel solar bagi mengurangkan penggunaan elektrik dan jejak karbonnya.
“Pasukan kewangan korporat kami akan meneliti nisbah kos-manfaat untuk memastikan pemegang saham kami dijaga dengan baik,” katanya sambil menambah Leform merancang untuk mengekalkan dasar dividennya dengan nisbah pembayaran tidak kurang daripada 20 peratus daripada pendapatan bersih tahunannya yang diaudit.
Leform telah berjaya menjana sejumlah RM71.5 juta daripada IPOnya, dengan sebanyak RM30 juta akan digunakan untuk membina ibu pejabat baharu, kemudahan penyimpanan gudang dan tempat penginapan pekerja, RM21.9 juta untuk modal kerja, RM14.4 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank dan RM5.2 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.
— BERNAMA




