KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) — Keuntungan bersih Supermax Corporation Bhd pada suku pertama berakhir 30 Sept, 2022 (suku pertama tahun kewangan 2023) merosot kepada RM5.71 juta daripada RM638.52 juta dalam tempoh sama sebelum ini berikutan purata harga jualan (ASP) yang kekal rendah dalam menghadapi persaingan yang sengit.
Pengeluar sarung tangan getah itu, dalam makluman kepada Bursa Malaysia, melaporkan bahawa perolehan berkurangan 86 peratus kepada RM247.97 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 daripada RM1.46 bilion sebelum ini.
Katanya penurunan jualan dan keuntungan itu berikutan beberapa sebab, termasuk persaingan sengit daripada pengeluar China, yang mengurangkan harga untuk meraih bahagian pasaran.
“Jualan terus terjejas berikutan Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) yang dikenakan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) pada Oktober 2021 yang terus dilaksanakan, menjejaskan usaha untuk mengimport penghantaran kos rendah baharu untuk menurunkan purata kos inventori,” katanya.
Katanya beberapa unit pengedaran di luar negara mengalami kerugian berikutan mereka terus menjual inventori berharga tinggi pada harga pasaran semasa yang rendah.
Menurut Supermax, kos operasi turut meningkat, termasuk kos gas yang tinggi dan kenaikan gaji minimum.
“Kami turut menanggung perbelanjaan pra-operasi untuk kilang baharu di AS.
“Syarikat turut menyahaktifkan kilang lama tertentu, yang dalam proses pembinaan semula,” katanya.
Supermax berkata industri sarung tangan getah kini berada dalam fasa konsolidasi selepas melalui fasa pertumbuhan paling kukuh dalam sejarah pada 2020 dan 2021 berikutan pandemik COVID-19 yang telah merebak ke seluruh dunia.
“Kadar pertumbuhan sektor itu yang kukuh telah menarik ramai pemain baharu dalam pasaran dan menggalakkan pemain sedia ada untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk memanfaatkan permintaan yang melonjak.
“Situasi lebihan bekalan dengan permintaan yang kembali normal apabila dunia menerima pandemik dan beralih kepada penyakit endemik telah menyaksikan ASP untuk sarung tangan lebih rendah daripada paras tertingginya,” katanya.
Katanya konsolidasi dalam industri sarung tangan getah dijangka berterusan berikutan ASP dan permintaan terus sederhana daripada paras tertinggi yang dilihat pada kemuncak pandemik COVID-19.
“Pada masa depan, pasaran akan kekal lemah, persaingan akan terus sengit dan margin keuntungan akan terus sederhana,” katanya.
— BERNAMA