Syabas rakyat Malaysia kerana anda telah menunaikan tanggungjawab anda sebagai rakyat dengan turun mengundi. Pilihan raya umum yang ke 15 telah pun menutup tirainya. PRU-15 ini juga boleh dianggap antara yang paling menarik kerana ini merupakan kali pertama Undi 18 dilaksanakan.

Pengundi berumur 18 tahun layak untuk turut memilih pemimpin yang mereka merasakan sesuai untuk memimpin negara. Walaubagaimanapun, parti-parti politik tempatan masih tidak berjaya membentuk kerajaan kerana tiada parti yang berjaya mendapat sekurang-kurangnya 112 kerusi di peringkat parlimen. Apabila tiada parti yang dapat membentuk kerajaan dengan bilangan kerusi majoriti, parlimen secara tidak langsung tergantung.
Baca: Parlimen Tergantung: Apakah Kesannya Kepada Ekonomi?
Kesan daripada tergantungnya parlimen maka tergantunglah penggubalan dasar dan perundangan negara. Ia secara tidak langsung akan menyebabkan pelabur tidak yakin untuk melabur ke dalam negara dan seterusnya menjejaskan ekonomi negara. Memandangkan sebuah kerajaan masih perlu dibentuk, perkara ini memaksa parti-parti ini untuk bergabung membentuk sebuah pakatan bagi membentuk kerajaan.
Apa Jadi Kepada Pasaran Saham Tempatan?
Pasaran saham amat berkait rapat dengan kestabilan politik sesebuah negara. Kestabilan politik yang kukuh akan memberi keyakinan kepada pelabur untuk terus melabur di dalam sesebuah negara. Sebaliknya, ketidakstabilan politik negara akan menyebabkan pelabur tidak yakin untuk melaburkan wang. Mana ada pelabur yang berani mengeluarkan wang pelaburan untuk melabur terhadap sesebuah perniagaan yang tidak pasti.
FBM KLCI semalam (21 November 2022) tutup pada 1,447.96 mata jatuh sebanyak 1.36 mata atau -0.09%. Pada sebelah pagi pasaran Bursa Malaysia rancak dengan kaunter-kaunter yang dikaitkan dengan pemimpin tertentu diniagakan paling aktif. Menjelang tengah hari, kaunter-kaunter yang dikaitkan dengan seorang lagi pemimpin turut semakin aktif diniagakan setelah mendakwa memiliki bilangan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Saham Yang Jatuh Teruk Selepas PRU-15
Keputusan PRU-15 ini yang tidak memberi majoriti kepada mana-mana parti sudah tentu memberi kesan yang kurang baik kepada pasaran saham. Secara keseluruhan, FBM KLCI mengalami penyusutan. Ada juga saham-saham yang mengalami “panic selling” sebaik sahaja pasaran dibuka.
Saham-saham yang menjalankan perniagaan kasino, nombor ramalan serta penghasilan arak antara yang terkesan dengan ketara kerana ketidakpastian terhadap polisi yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan baharu.
Kerajaan negeri Kedah pernah menghentikan pengeluaran lesen judi serta mengehadkan penjualan arak di negeri tersebut. Seperti yang kita sedia maklum, kerajaan Negeri Kedah diketuai oleh Menteri Besar Kedah, Haji Muhammad Sanusi Md Nor dari Parti Islam Se-Malaysia yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional (PN). Pada November 2021, Kedah menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lagi akan memberi kelulusan lesen premis perjudian selain mengehadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri, berkuat kuasa serta-merta.
Majoriti saham ini adalah saham tidak patuh syariah memandangkan model perniagaan yang jelas bercanggah dengan syariat Islam.
Magnum mengalami kejatuhan terbesar dengan 8.72%. SPTOTO susut 6.29% dan HEIM susut 6.22%. Majoriti saham-saham ini menyaksikan kejatuhan sekitar 4% sehingga 8%.
Walaubagaimanapun ada juga beberapa saham yang membuat kenaikan pada hari pertama setelah pasaran dibuka semula pasca PRU-15. Saham syarikat yang dikaitkan dengan parti politik yang bertanding dilihat antara yang meriah diniagakan. Parti politik utama yang bertanding seperti Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan Barisan Nasional mula berunding sesama sendiri untuk bekerjasama membentuk kerajaan campuran.
Saham yang mendapat impak ini sudah tentulah terdiri daripada syarikat yang dikaitkan dengan pemimpin utama parti dan saham syarikat yang sering mendapat projek kerajaan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu. Cuma berita saham tersebut dikaitkan dengen pemimpin parti politik tertentu hanyalah khabar angin semata-mata dan tidak mempunyai bukti kukuh.
Kesimpulannya, kita sebagai pelabur perlu mengambil tahu kaunter-kaunter yang berkait rapat dengan tema politik agar bijak membuat keputusan dalam setiap situasi. Tidak kira apa pun gabungan yang bakal dibentuk, kerajaan ini diharapkan dapat memulihkan ekonomi negara serta mentadbir kerajaan dengan baik.
Saham-saham yang dinyatakan di dalam artikel ini adalah sebagai satu tujuan perkongsian semata-mata dan tiada saranan belian atau jualan dilakukan. Majoriti saham yang dinyatakan di dalam artikel ini juga adalah tidak patuh syariah.
Sumber: