KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) — Gabungan AQRS Bhd (GBGAQRS) menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) dengan PR1MA Corporation Malaysia untuk memajukan projek kediaman di Kuantan, Pahang dengan anggaran nilai pembangunan kasar (NPK) RM335.95 juta.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu, GBGAQRS menjelaskan projek itu melibatkan pembangunan 1,065 unit rumah teres setingkat dan rumah berkembar setingkat menerusi tiga fasa.
Sebanyak 320 unit akan dibangunkan pada fasa pertama, diikuti 328 unit semasa fasa kedua dan 417 unit di fasa ketiga, tambahnya.
Syarikat itu memaklumkan projek meliputi kawasan seluas 40.80 hektar itu dijangka siap dalam tempoh 84 bulan daripada tarikh bermulanya projek.
PR1MA ialah pemilik tanah.
“PR1MA perlu mengesahkan dan menyemak semua dokumen yang diperlukan untuk pematuhan syarat-syarat awal dan projek ini perlu dimulakan pada tarikh pemberitahuan bertulis daripada PR1MA yang mengesahkan semua syarat telah dipenuhi atau dikecualikan,” jelasnya.
Menurut syarikat itu JDA itu membolehkan pemaju melantik Monolight IBS Building System Sdn Bhd, anak syarikat milik penuhnya, untuk melaksanakan pembangunan itu.
“Pembangunan ini akan meningkatkan sinergi bagi perniagaan hartanah dan pembinaan syarikat di samping menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan bahagian hartanah dan pembinaan,” tambahnya.
GBGAQRS juga menjangkakan ia akan menyumbang secara positif kepada keuntungan dan keuntungan sesaham syarikat.
— BERNAMA




