KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) — Petronas Gas Bhd (PetGas) mencatat keuntungan bersih lebih rendah kepada RM425.82 juta dalam suku ketiga berakhir 30 Sept, 2022 berbanding RM580.84 juta bagi tempoh sama tahun lepas, susulan penyusutan keuntungan kasar serta impak daripada pergerakan tukaran asing.
Penyusutan keuntungan kasar sebanyak 18.8 peratus itu disebabkan oleh penurunan sumbangan semua segmen kumpulan akibat peningkatan kos operasi, terutama gas bahan api dan penggunaan gas dalaman.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, PetGas berkata perolehan hasilnya bagaimanapun meningkat kepada RM1.56 billion daripada RM1.43 bilion, disumbangkan oleh segmen utiliti akibat kenaikan harga produk yang sejajar dengan peningkatan harga gas bahan api.
Hasil segmen utiliti misalnya menokok 37.7 peratus yang didorong oleh kenaikan harga produk sejajar dengan kenaikan harga gas bahan api, berdasarkan Harga Rujukan Malaysia (MRP).
Namun, keputusan segmen terbabit susut 27.4 peratus akibat margin yang lebih kecil berikutan peningkatan kos gas bahan api.
Selain itu, hasil unit kilang pemprosesan gas kumpulan merekodkan peningkatan kecil sebanyak 1.8 peratus berbanding suku sebelumnya, didorong oleh pencapaian insentif penggunaan gas dalaman yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, keputusan segmen berkenaan susut 6.2 peratus akibat kos operasi yang meningkat.
Secara keseluruhannya, kilang pemprosesan gas itu mengekalkan prestasi operasi berkelas dunia apabila mencatatkan kebolehpercayaan hampir 100 peratus.
Dalam pada itu, hasil perniagaan pengangkutan gas adalah RM293.8 juta manakala hasil segmen secara keseluruhannya berkurangan 14.9 peratus akibat kenaikan kos operasi, terutama kos penggunaan gas dalaman yang sejajar dengan peningkatan harga gas bahan api.
Rangkaian saluran paip kumpulan turut mencecah kebolehpercayaan kukuh yang menghampiri 100 peratus bagi tempoh di bawah kajian itu.
PetGas berkata perolehan hasil bahagian regasifikasi mencecah RM357 juta manakala keputusan segmen berkenaan susut 30.8 peratus akibat kenaikan kos operasi, terutama penggunaan gas dalaman.
Kos tersebut lebih rendah dalam suku sama akibat pelarasan pasca pemuktamadan mekanisme pengecasan yang baharu.
PetGas berkata, terminal regasifikasi gas asli cecair miliknya di Sg Udang, Melaka (RGTSU) dan Pengerang, Johor (RGTP) telah mengekalkan prestasi kebolehpercayaan kukuh yang menghampiri 100 peratus pada suku ketiga tersebut.
Bagi suku sama, kumpulan berkenaan telah mengumumkan dividen interim satu peringkat sebanyak 18 sen bagi sesaham biasa.
Mengulas prospek, PetGas yakin permintaan terhadap gas dan utiliti akan terus bertambah baik seiring dengan peralihan negara ke fasa endemik COVID-19.
“PetGas menyasarkan penggunaan aset akan terus bertambah baik yang sejajar dengan pemulihan ekonomi.
“Prestasi kumpulan pada 2022 juga dijangka kekal berdaya tahan susulan terdapat kontrak jangka panjang yang dapat memastikan kestabilan aliran pendapatan, terutama bagi segmen perniagaan pemprosesan gas, pengangkutan gas dan regasifikasi,” katanya.
Kumpulan itu juga telah memperbaharui beberapa kontrak utiliti jangka panjang yang dapat meningkatkan margin prestasi segmen suku ketiga dan seterusnya membantu mengurangkan sebahagian daripada impak negatif peningkatan kos gas bahan api.
Namun, katanya, faktor seperti peningkatan MRP, kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat dan pelaksanaan Cukai Makmur akan menjejaskan prestasi kumpulan itu secara keseluruhannya.
— BERNAMA




