KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) — Ranhill Utilities Bhd telah dianugerahkan kontrak untuk menjalankan perkhidmatan kejuruteraan reka bentuk terperinci (DDE) untuk kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) P-82 baharu, untuk pengeluar minyak dan gas milik negara Brazil, Petroleo Brasileiro S.A (Petrobras).
Menurut syarikat itu, anak syarikat 51 peratus miliknya, Ranhill Worley Sdn Bhd menandatangani kontrak berkuat kuasa pada 4 Nov, 2022 daripada Sembcorp Marine Integrated Yard Pte Ltd untuk sama-sama menjalankan kontrak itu dengan nilai US$27 juta.
“Kontrak dan skop kerja di bawah kontrak untuk projek itu akan diusahakan oleh Ranhill Worley.
“Syarikat kemudiannya mendapat kelulusan untuk mengeluarkan pengumuman mengenai kontrak itu daripada Sembcorp Marine pada 14 Nov, 2022,” menurut Ranhill dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
FPSO binaan baharu itu akan menjadi antara kapal terbesar yang akan digunakan di lapangan Buzios, medan minyak dan gas yang amat dalam meliputi kawasan seluas 853 km persegi di Lembangan Santos pra-garam, kira-kira 180 km dari pantai Rio de Janeiro, Brazil.
P-82 adalah sebahagian daripada kemudahan pengeluaran generasi baharu Petrobras, mempunyai kapasiti pengeluaran yang tinggi dan teknologi yang digunakan untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida.
Unit itu akan turut dilengkapi dengan kapasiti suntikan air sebanyak 250,000 tong sehari dan kapasiti penyimpanan sebanyak dua juta tong minyak.
“Tempoh fasa kejuruteraan terperinci dijangka selama 14 bulan dengan sokongan kejuruteraan susulan selepas itu.
“Projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan dan pendapatan Ranhill untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023,” katanya.
— BERNAMA




