KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) — Syarikat makanan dan minuman, Fraser and Neave Holdings Bhd (F&N) memperuntukkan antara RM700 juta dan RM800 juta untuk perbelanjaan modal (capex) pada tahun kewangan berakhir 30 Sept, 2023, sebahagian besarnya untuk projek ladang tenusunya di Gemas, Negeri Sembilan.
Pengarah Kewangan Kumpulan Tiong Yean Yau berkata peruntukan tersebut merupakan peningkatan yang ketara sebanyak tiga hingga empat kali ganda berbanding capex tahun kewangan 2022 yang hanya RM190 juta.
“Setakat ini, kami telah menggunakan lebih RM200 juta dan dengan kadar pertukaran semasa yang meningkat, itu (peruntukan capex RM800 juta) adalah anggaran semasa kami,” katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai keputusan kewangan 2022 syarikat di sini hari ini.
Beliau berkata tumpuan utama pada tahun kewangan 2023 ialah Cocoaland Holdings Bhd dan projek tenusu.
Ketua Pegawai Eksekutif Lim Yew Hoe berkata kumpulan dijangka mencapai dengan strategi jangka panjangnya untuk meningkatkan kecekapan kos dan membina tonggak perniagaan keempatnya, Makanan Berbungkus Halal.
“Pelaburan ini bukan sahaja akan menambah rangkaian jenama makanan manis dan snek Malaysia yang mapan kepada portfolio kumpulan tetapi juga akan menjadi platform untuk berkembang kepada lebih banyak segmen makanan Halal dan memenuhi permintaan yang meningkat untuk produk makanan berbungkus.
“Dengan selesainya pengambilalihan Ladang Permai Damai, kumpulan turut dijangka akan meneruskan pelannya mengenai perniagaan susu segar huluan untuk pengeluaran hiliran dan pengedaran susu segar,” katanya.
Beliau berkata langkah ini akan membolehkan kumpulan mempunyai perniagaan dan operasi integrasi berdasarkan tanaman tempatan untuk bahan makanan kepada ladang tenusu F&N, yang sekali gus akan mengurangkan kos rantaian nilai seliter.
“Langkah itu juga akan membantu kami untuk kurang bergantung kepada susu import dan akan membantu menggalakkan industri pertanian tempatan,” katanya.
Beliau berkata walaupun ketidaktentuan makro berterusan, kumpulan mempunyai momentum pemulihan yang menggalakkan dalam aktiviti ekonomi dan pelancongan di Malaysia dan Thailand.
“Oleh itu, F&N akan terus memacu jualan untuk musim perayaan akan datang dan memberi tumpuan kepada mempercepatkan inovasi dan memacu kecekapan operasi, kecemerlangan komersial serta disiplin fiskal dalam rantaian nilai,” katanya.
Beliau berkata kumpulan juga akan terus fokus kepada eksport, yang menjadi lindung nilai semula jadi untuk mengimbangi kesan pertukaran asing.
“Kami akan terus mengambil langkah secara proaktif untuk menghadapi persekitaran yang tidak menentu dan mengambil langkah untuk meningkatkan daya tahan kami melalui pembelian ke hadapan untuk komoditi utama dan strategi lindung nilai,” katanya.
Pada tahun kewangan berakhir 30 Sept, 2022, F&N mencatatkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 8.2 peratus kepada RM4.47 bilion daripada RM4.13 bilion dicatatkan pada tahun kewangan 2022.
Dalam tempoh tersebut, kumpulan memperkukuh tonggak makanan berbungkus Halal dengan pengambilalihan Cocoaland, yang selesai pada 4 Nov, 2022 dan menjadi anak syarikat milik penuh F&N.
— BERNAMA




