KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) — Cypark Resources Bhd (CRB) telah mencadangkan untuk melaksanakan penempatan saham sehingga 178.94 juta saham baharu atau 30 peratus daripada jumlah keseluruhan saham terbitan, harga terbitan akan ditentukan kemudian.
Untuk tujuan ilustrasi, harga terbitan indikatif bagi penempatan saham dicadangkan adalah RM0.41 sesaham, justeru perlaksanaan itu dijangka akan meningkatkan hasil kasar sehingga RM73.37 juta, berdasarkan senario maksimum.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, CRB berkata penempatan saham itu akan disampaikan kepada pelabur bebas pihak ketiga yang akan dikenal pasti kemudian dan tidak akan disampaikan kepada pengarah, pemegang saham utama atau ketua eksekutif CRB atau syarikat induk CRB atau orang yang berkaitan serta syarikat penama, melainkan nama penerima utama didedahkan.
“Berdasarkan harga terbitan ilustrasi RM0.41 sesaham daripada kutipan RM73.37 juta, RM50 juta akan digunakan sebagai modal kerja untuk pembangunan projek solar photovoltaic terapung berskala besar 2 dalam tempoh enam bulan dari tarikh penyenaraian.
“Sebanyak RM22.87 juta lagi akan digunakan sebagai modal kerja untuk loji pemulihan dan rawatan lanjutan modular sisa pepejal kepada tenaga di Negeri Sembilan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh penyenaraian manakala RM500,000 akan digunakan untuk perbelanjaan bagi cadangan penempatan itu,” katanya.
CRB berkata langkah itu akan membolehkan syarikat mengumpul dana yang diperlukan untuk memenuhi keperluan pendanaan kumpulan tanpa bergantung sepenuhnya pada dana yang dijana secara dalaman dan/atau pinjaman bank dan dilihat sebagai saluran pengumpulan dana yang paling sesuai.
Penempatan saham dicadangkan itu juga akan membolehkan CRB meningkatkan pegangan saham Bumiputeranya bagi tujuan mengekalkan status Syarikat Senaraian Awam Bumiputera (PLC Bumiputera) yang dianugerahkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Status PLC Bumiputera itu akan menjadi kelebihan daya saing kerana ia membolehkan Kumpulan menyertai tender projek masa depan yang memerlukan status PLC Bumiputera, sekiranya ada, katanya.
— BERNAMA




