KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Velesto Energy Bhd, Velesto Drilling Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai US$135 juta (US$1 = RM4.74) daripada Hess Exploration And Production Malaysia B.V.
Menurutnya, kontrak itu untuk penyediaan perkhidmatan pelantar, penggerudian dan penyiapan bersepadu (I-RDC) bagi pembangunan penuh lapangan Lembangan Melayu Utara 2022 hingga 2024 Hess.
“Kontrak itu untuk menyediakan perkhidmatan I-RDC meliputi 14 telaga dengan jangkaan tarikh bermula pada suku keempat 2022,” menurut penyedia perkhidmatan penggerudian luar pesisir minyak dan gas (O&G) itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Velesto berkata kumpulan akan memperuntukkan pelantar jenis jack-up NAGA 5 bagi kontrak tersebut.
NAGA 5 ialah pelantar penggerudian jenis jack-up bicu julur tapak bebas premium yang mempunyai keupayaan kedalaman penggerudian 30,000 kaki dan kadar operasi dengan kedalaman air 400 kaki.
— BERNAMA




