KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) — Maxis Bhd mencatatkan penurunan dalam keuntungan bersih kepada RM315 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2022 (S3 2022) daripada RM325 juta pada suku yang sama tahun lalu, terutamanya disebabkan cukai makmur yang dikenakan sekali sahaja.
Bagaimanapun, hasil syarikat telekomunikasi itu berkembang 5.9 peratus kepada RM2.41 bilion daripada RM2.27 bilion pada S3 2021.
Maxis dalam maklumannya kepada bursa saham berkata, ia akan terus menghasilkan pertumbuhan merentas semua segmen didorong oleh prestasi perniagaan pengguna dan perusahaannya.
Sehubungan itu, ia mengisytiharkan dividen interim sebanyak lima sen sesaham bersih untuk suku ketiga.
Syarikat itu berkata hasil perkhidmatannya meningkat 3.7 peratus kepada RM2.11 bilion yang disebabkan pertumbuhan sihat dalam perniagaan pengguna dan perusahaan.
Perniagaan pengguna mencatatkan hasil sebanyak RM1.72 bilion, meningkat 4.1 peratus, disumbangkan oleh pertumbuhan pelanggan dalam segmen pascabayar yang stabil sebanyak 6.4 peratus.
Ini menjadikan jumlah langganan pascabayar kepada 3.27 juta, menyumbang kepada peningkatan hasil sebanyak 6 peratus yang berjumlah RM830 juta.
Segmen prabayar masih kekal berdaya tahan, walaupun berlakunya penghijrahan prabayar kepada pascabayar yang berterusan, namun ia mencatatkan penurunan sedikit sebanyak 1.8 peratus dalam langganan, katanya.
Segmen ketersambungan di kediaman pula menyaksikan pertumbuhan hasil dua angka sebanyak 16.2 peratus, dengan 83,000 sambungan tambahan di kediaman dari tahun ke tahun (y-o-y), menjadikan jumlah ketersambungan gentian di kediaman kepada 652,000, kata syarikat itu.
Maxis berkata perniagaan perusahaannya merekodkan peningkatan hasil kepada RM387 juta, atau naik 1.8 peratus, disebabkan tumpuan untuk mengembangkan keupayaan konvergennya.
Peningkatan dalam nombor pendaftaran perniagaan (BRN) sebanyak 5 peratus berpotensi untuk meningkatkan hasil pada masa hadapan.
Pendapatan kumpulan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) adalah kukuh, meningkat sebanyak 3 peratus kepada RM1.01 bilion hasil daripada inisiatif pengurusan kos yang berterusan.
Bagaimanapun, syarikat itu menyatakan bahawa keuntungan bersihnya adalah 3.1 peratus lebih rendah walaupun EBITDA yang kukuh dan keuntungan sebelum cukai tahun ke tahun yang lebih tinggi.
Ini disebabkan oleh cukai makmur sekali sahaja untuk tahun itu yang dikenakan sebanyak 33 peratus ke atas pendapatan bercukai melebihi RM100 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Gokhan Ogut berkata Maxis mencatatkan satu lagi prestasi kukuh pada suku ketiga, menunjukkan kestabilannya dalam membina asas untuk pertumbuhan seterusnya.
“Fokus kami akan sentiasa tertumpu kepada pelanggan kami dan memastikan kami terus menambah baik dan memberikan pengalaman terbaik melalui rangkaian, penyelesaian digital dan perkhidmatan kami.
“Kami tidak sabar-sabar untuk membawakan perkhidmatan 5G terbaik tidak lama lagi kepada pelanggan kami yang kini boleh mendaftar untuk tawaran peranti 5G yang menarik yang dilancarkan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.
Maxis berkata, pakatan 5G mereka yang ditubuhkan pada Jun, berada pada momentum yang kukuh, berkembang kepada 23 ahli pada masa ini, dan bekerjasama dengan rakan kongsi global serta tempatan untuk mencipta dan mengkomersialkan penggunaan 5G serta penyelesaian internet pelbagai benda (IoT) merentas industri di Malaysia dan Asia-Pasifik.
Baru-baru ini syarikat itu juga melancarkan strategi kemampanannya, MAX+, yang menguatkan strategi korporatnya untuk membina masa depan yang lebih mampan melalui amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
— BERNAMA