KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) — Jiankun International Bhd (JKI) telah memeterai perjanjian pembangunan bersama (JDA) dengan NTL International Holdings (M) Sdn Bhd dalam memajukan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM215.1 juta di Semenyih, Selangor.
JDA itu telah dimeterai oleh Nagamas Bizworks Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh JKI.
Projek di Taman Anggerik, Bandar Teknologi Kajang terdiri daripada bangunan pangsapuri 37 tingkat, yang merangkumi unit servis, unit komersial, rumah mampu milik, pelbagai kemudahan dan tempat letak kereta tujuh tingkat.
JKI akan bertanggungjawab ke atas kos serta perbelanjaan pembangunan dan NTL International akan menyediakan tanah pegangan bebas untuk projek berkenaan.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif JKI, Edwin Silvester Das berkata pembangunan bersama itu sejajar dengan inisiatif kumpulan untuk bekerjasama dengan pemilik tanah bagi mengembangkan perniagaan pembangunan hartanah mereka tanpa perlu membina bank tanahnya.
“Kami percaya cadangan pangsapuri servis dengan unit perumahan mampu milik ini akan menyediakan gabungan terbaik dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat ke atas perumahan mampu milik.
“Memandangkan tanah ini terletak kira-kira 7.2 kilometer dari Stesen MRT Kajang, kami percaya ia juga akan menarik bagi isi rumah berpendapatan sederhana di sekitar kawasan Kajang, Cyberjaya dan Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah bahawa kekurangan unit rumah mampu milik di Malaysia adalah satu lagi sebab mengapa JKI telah meningkatkan langkah dalam menyediakan permintaan dan kerjasama pembangunan secara bersama juga boleh membantu mengurangkan kos pembangunan.
“Ini akan melonjakkan prospek pertumbuhan JKI apabila industri pembangunan hartanah pulih dalam era pasca COVID-19,” katanya.
— BERNAMA




