PETALING JAYA, 21 Okt (Bernama) — Caely Holdings Bhd merancang untuk mengembangkan segmen pembuatannya dalam cadangan usaha sama dengan rakan setara dari Indonesia untuk kemudahan pengeluaran baharu, dengan jumlah nilai pelaburan sebanyak US$800,000.
Pengarah Eksekutif Leong Seng Wui berkata kumpulan merancang untuk melaksanakan pengembangan pada suku pertama tahun depan dengan pelaburan dijangka dalam bentuk tunai dan jentera yang terdapat di kilangnya di Teluk Intan di Perak.
“Kami dalam peringkat perbincangan mengenai peratusan yang akan diambil oleh Caely. Kami berpendapat ia masa yang tepat untuk berkembang walaupun kami mempunyai kemudahan pembuatan di Malaysia berikutan kami lebih bergantung kepada pekerja asing,” katanya pada sidang media untuk memperkenalkan Lembaga Pengarahnya yang baharu dan membincangkan isu berkaitan kumpulan di sini hari ini.
Beliau berkata pelan pengembangan di Indonesia tepat pada masanya dan akan membantu kumpulan untuk mengurangkan kos, termasuk gaji minimum untuk pekerja asing selain meningkatkan kecekapan pengeluaran.
Katanya kumpulan tidak akan menunggu sehingga selesai saman guaman untuk melaksanakan sebarang pelan pengembangan berikutan ia mempunyai dana yang mencukupi dengan nilai perolehan kontrak yang baik.
Leong berkata kumpulan turut merancang untuk menyusun semula strategi dengan mengenal pasti dan berbincang dengan pakar pasaran dalam segmen pembangunan hartanah untuk memulihkan perniagaan.
“Dengan tambahan simpanan tanah di Tapah dan Lembah Klang, kami akan mengupah pakar dalam sektor pembangunan hartanah untuk mengenal pasti potensi projek yang akan menyumbang secara positif kepada kumpulan,” katanya.
Beliau turut berharap pihak berkuasa dapat menyelesaikan siasatan secepat mungkin dan menyahbekukan akaun bank syarikat supaya operasi harian kembali lancar.
Pengerusi Eksekutif Ng Keok Chai berkata Lembaga Pengarah yang baharu akan menyokong dan memberi kerjasama sepenuhnya dengan polis dalam siasatan mereka dan melakukan yang terbaik untuk mendapatkan semula sebanyak mungkin untuk manfaat Caely dan pemegang sahamnya.
Sejak Februari 2022, Caely telah terlibat dalam kes undang-undang penyelewengan dana sehingga berjumlah RM30.55 juta, melibatkan Pengasas dan bekas Pengarah Eksekutif Caely Datin Fong Nyok Yoon, suaminya Datuk Alan Chuah Chin Lai dan bekas Lembaga Pengarah kumpulan itu.
— BERNAMA




