KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) — Keuntungan bersih Pantech Group Holdings Bhd bagi suku kedua tahun kewangan berakhir pada 31 Ogos 2022 meningkat kepada RM31 juta disebabkan eksport produk keluli bahagian pembuatan yang kukuh.
Perolehan meningkat kepada RM269.99 juta daripada RM136.49 juta sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi separuh pertama tahun fiskalnya, keuntungan bersih Pantech naik kepada RM57.40 juta daripada RM30.50 juta, hasil pula melonjak kepada RM540.66 juta daripada RM284.99 juta sebelumnya.
Ia berkata perolehan dan keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi itu berikutan prestasi yang lebih baik dalam kedua-dua bahagian dagangan dan pembuatan.
Pantech berkata prestasi lebih baik untuk bahagian pembuatan pada suku kedua dan separuh tahun itu disebabkan oleh campuran produk keseluruhan yang lebih baik dan eksport yang kukuh bagi kedua-dua keluli karbon dan keluli tahan karat.
Prestasi yang lebih baik dalam bahagian dagangan kebanyakannya disebabkan oleh penghantaran yang lebih tinggi kepada projek minyak dan gas tempatan, katanya.
— BERNAMA




