KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) — EP Manufacturing Bhd (EPMB) mahu mewujudkan pakatan strategik dengan SAEAN Group Inc (SGI) yang berpangkalan di AS bagi mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) secara besar-besaran untuk pasaran Malaysia dan negara-negara lain di Asia Tenggara.
Pembuat alat ganti automotif tempatan itu berkata, kedua-dua pihak menandatangani memorandum perjanjian (MoA) hari ini untuk saling membangunkan EV segmen A (kenderaan utiliti sukan kecil).
EPMB dan SGI telah menetapkan sasaran kapasiti pengeluaran awal sebanyak 20,000 unit setahun, termasuklah program pengembangan bagi menampung peluang eksport, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
EPMB berkata, SGI mempunyai pusat penyelidikan dan pembangunan di Korea Selatan dengan lebih daripada 120 paten untuk menjamin pembangunan EV dan mempunyai beberapa model EV yang melengkapkan kitaran pembangunannya.
SGI akan memulakan pengeluaran terhad model EV sukan tahun depan untuk pasaran AS.
Dalam pada itu, ia sedang bekerjasama dengan rakan kongsi strategik bagi mengeluarkan model EV lain secara besar-besaran.
— BERNAMA